PENJANA BUAT SEKTOR PELANCONGAN

18 Jun 2020 | Berita Terkini, Ekonomi, Perniagaan | 0 comments

Umum maklum, sejak PKP sehingga PKPB, industri pelancongan antara industri yang amat terjejas. Namun, keputusan kerajaan untuk membuka semula sempadan negeri dan kebenaran rentas negeri sejak 10 June 2020 melegakan hati ramai. Berita baik itu bukan saja disambut baik oleh perantau yang merindukan ibu bapa malahan juga pengusaha pelancongan di dalam negara.

Oleh hal yang demikian, bagi membantu dan menyuntik kembali pengembangan industri pelancongan, kerajaan melalui program PENJANA telah memperkenalkan beberapa inisiatif buat sektor pelancongan. Bagi merancakkan kembali sektor pelancongan, Skim Pembiayaan Pelancongan PENJANA bernilai RM1 bilion akan ditawarkan untuk membiayai inisiatif transformasi oleh PKS dalam sektor pelancongan agar terus berdaya saing dalam era kebiasaan baharu. Perincian dana ini akan diumumkan oleh Bank Negara Malaysia pada bulan Julai 2020.

Selain dari itu, untuk mengaktifkan semula kegiatan industri pelancongan, beberapa langkah cukai akan dilaksanakan. Antaranya adalah:

  • Perniagaan di bawah industri pelancongan seperti agensi pelancongan, pengusaha hotel dan syarikat penerbangan yang telah diberikan penangguhan bayaran ansuran ke atas anggaran cukai yang kena dibayar bagi tempoh 1 April 2020 hingga 30 September 2020 akan dilanjutkan tempoh penangguhan selama 3 bulan lagi mulai 1 Oktober 2020 hingga 31 Disember 2020.
  • Mengecualikan cukai pelancongan sepenuhnya bagi tempoh mulai 1 Julai 2020 hingga 30 Jun 2021
  • Pengecualian cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penginapan yang disediakan oleh pengendali premis penginapan dilanjutkan mulai 1 September 2020 hingga 30 Jun 2021.
  • Pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 yang telah diberikan ke atas perbelanjaan melancong dalam negara dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021.

Langkah di atas pastinya melegakan hati pengusaha pelancongan dalam mendepani pandemik Covid-19. Bersama-sama kita rakyat Malaysia bersatu bagi memulihkan kembali ekonomi Malaysia.

Chartered Accountant
Hex Corporate Strategies Sdn Bhd
18 Jun 2020