PERANAN SEKTOR DALAM PEMULIHAN EKONOMI PASCA COVID-19: MEMASTIKAN RANTAIAN BEKALAN STABIL

20 Apr 2020 | Berita Terkini, Ekonomi | 0 comments

Umum sedia maklum akan gangguan perniagaan yang berpunca daripada pandemik Covid-19, sektor-sektor utama ekonomi negara mengalami penurunan dalam keuntungan mereka.

Sepanjang tempoh April kekal dalam mod Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPKD). Manakala perniagaan yang penting dibenarkan beroperasi dengan mengamalkan penjarakkan sosial yang lebih tegas. Kali terakhir industri perniagaan mengalami kemelesetan adalah pada tahun 1998 di mana pada masa itu merupakan tahun pertama berlakunya krisis kewangan dan ekonomi.

Permintaan negara kita terbahagi kepada dua iaitu permintaan eksport dan permintaan domestik. Kedua-dua permintaan ini mengalami penurunan disebabkan kurangnya perbelanjaan yang dilakukan sama ada oleh rakyat di dalam negara mahupun daripada negara-negara yang terkesan dengan Covid-19 ini. Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed berkata “Cabaran utama yang dihadapi sebahagian besar negara di dunia ketika ini adalah mengekalkan pertumbuhan kukuh permintaan domestik dengan memastikan pengguna terus berbelanja, syarikat terus beroperasi dan projek infrastruktur kekal dilaksanakan meskipun berdepan dengan persekitaran yang mencabar.”

Beliau juga berkata “Pelaksanaan pengembangan dasar fiskal adalah tepat untuk menampan kesan negatif penularan pandemik yang mencetuskan kejutan bekalan dan permintaan itu, di samping pelaksanaan dasar monetari akomodatif yang menyokong pertumbuhan ekonomi domestik.”

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Negara, purata bulanan perbelanjaan isirumah telah jatuh lebih daripada separuh daripada RM6,317 kepada RM2,817. Oleh itu, jelas di sini bahawa tiada permintaan maka tiada bekalan yang dikeluarkan oleh sektor ekonomi negara.

Jika kita amati, bermula dari PKP minggu kedua, menjadi kebiasaan rakyat Malaysia untuk memasak setiap hari di rumah berbanding membeli makanan di luar. Ini merupakan punca utama salah satu sektor ekonomi negara mendapat permintaan yang tertinggi iaitu industri makanan dan minuman.

Apa yang cuba diketengahkan adalah jika ekonomi negara kita mempunyai rantaian bekalan yang stabil dan baik, ia mampu memulihkan ekonomi negara kita pasca Covid-19 kelak. Namun, ia bergantung kepada tahap fleksibiliti sesebuah syarikat dalam menjalankan operasi mereka dan tidak hanya terlalu bergantung kepada satu bekalan sahaja. Oleh itu, semua syarikat perlu faham akan apa rantaian bekalan yang berkaitan dengan bisnes mereka dan mengurangkan segala gangguan terhadap rantaian itu.

Sebagai contoh, salah satu syarikat pembinaan di Malaysia iaitu Crest Builder Holdings Bhd percaya bahawa unit pembinaannya mampu kekal mengaut keuntungan dalam tempoh tahun kewangan 2020 hingga 2021 dengan pesanan tempahan yang memuaskan sebanyak RM1.24 billion. Manakala, beberapa projek-projek kecil telah berada dalam genggaman unit kejuruteraannya semasa PKP dijalankan. (The Edge Markets)

Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Dr. Richard Record berkata “Malaysia berada pada kedudukan baik berbanding negara lain dalam mendepani cabaran impak negatif penularan Covid-19.”

Beliau berkata, Malaysia mempunyai struktur ekonomi yang pelbagai, rekod pengurusan ekonomi makro yang mantap, pasaran modal domestik yang mendalam, institusi kewangan yang utuh dan pengalaman lalu dalam menangani krisis. Beliau juga menyambut baik cadangan Malaysia dalam pelan pemulihan ekonomi ASEAN pada 14 April 2020 lalu.

“ASEAN perlu bekerjasama rapat dengan rakan pakatan Campur Tiganya bagi memastikan Asia Pasifik pulih daripada impak ekonomi pandemik Covid-19 bersama-sama,” kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Hex Corporate Strategies Sdn Bhd
20 April 2020