IMPAK COVID-19 TERHADAP PERKHIDMATAN PENGHANTARAN.

16 Apr 2020 | Berita Terkini, Ekonomi, Perniagaan | 0 comments

IMPAK COVID-19 TERHADAP PERKHIDMATAN PENGHANTARAN

Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan wabak Covid-19, permintaan terhadap perkhidmatan penghantaran seperti Grab, Foodpanda, Shoppee dan sebagainya kelihatan semakin meningkat atas sebab-sebab keselamatan dan memudahkan urusan seharian. Hal ini berikutan pelaksanaan PKP yang menyukarkan pergerakan rakyat Malaysia untuk membeli barang keperluan seisi keluarga di rumah selain faktor keselamatan diri dari berada di tempat orang ramai yang berkemungkinan akan dijangkiti wabak Covid-19 .

Walapun dengan permintaan yang meningkat, namun perniagaan mereka khususnya pekerja perkhidmatan penghantaran makanan seperti Foodpanda dan Grab Food, terjejas kerana mereka terpaksa mengehadkan jumlah pesanan pelanggan disebabkan waktu perkhidmatan yang terhad. Di sebalik waktu terhad yang mereka ada, permintaan tinggi yang mereka peroleh sepanjang PKP ini melebihi permintaan dari hari-hari biasa terutama sekali ketika waktu puncak. Terdapat segelintir pekerja penghantaran makanan yang mengambil inisiatif sendiri dengan melakukan kerja seperti ‘’runner runcit’’ terutama untuk golongan warga emas yang memerlukan barang keperluan di rumah.

Berikutan permintaan yang tinggi oleh masyarakat, satu kerjasama antara perkhimatan penghantaran barang, Pos Laju dan laman membeli belah online, Shopee bukan sahaja memudahkan pembeli membeli barangan secara dalam talian, malah akan dihantar oleh Pos Malaysia.  Pos Laju, cabang kurier Pos Malaysia Bhd dan platform e-dagang Shopee melancarkan kempen “Stay Home Essential” untuk memudahkan pelanggan membeli barangan keperluan sepanjang tempoh PKP.

“Pelanggan kini boleh membeli barangan keperluan melalui Shopee dan akan sampai ke rumah menggunakan perkhidmatan Pos Laju. Kempen ini akan berlangsung mulai 3 hingga 25 April 2020 membabitkan lebih 20,000 produk merangkumi barang runcit, barangan bayi dan kanak-kanak, minuman dan barangan kegunaan isi rumah. ”

 Memetik daripada artikel BH Online, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia berkata, kempen itu bertujuan menggalakkan pelanggan untuk berada di rumah dan membeli barangan keperluan secara dalam talian untuk memastikan kesejahteraan rakyat dalam mengharungi detik-detik yang sukar ini. Kempen lain yang turut ditawarkan pihak Pos Malaysia adalah kupon bagi pembelian barang di Shopee yang berlangsung selama 3 April sehingga 25 April 2020.

“Pos Laju menawarkan “Essential Vouchers” harian bernilai RM5 dan RM10 yang layak bagi pembelian minimum serendah RM15 bagi setiap barangan di bawah kempen “Stay Home Essentials”,” katanya dalam satu kenyataan.
“Ini akan membantu rakyat kekal selamat dan membendung penularan COVID-19 dan kesukaran memandu ke kedai serta terpaksa beratur panjang, sekali gus menggalakkan mereka berada di rumah sepanjang tempoh PKP,” katanya.

Selain Pos Laju, terdapat juga inisiatif syarikat swasta yang mengambil peluang untuk meneruskan operasi mereka. Syarikat pengendali teksi, Big Blue Capital Sdn. Bhd. yang ditubuhkan sejak 10 tahun lalu, menukar strategi dari perkhidmatan menghantar penumpang kepada perkhidmatan penghantaran makanan. Menurut presidennya, Datuk Shamsubahrin Ismail, inisiatif itu diambil bagi membantu 10,000 pemandu di bawah syarikat itu meneruskan kelangsungan hidup mereka. Hal ini sekaligus dapat memenuhi permintaan masyarakat Malaysia.

Selain itu, laman web ‘online’ barangan keperluan seperti MyGrocer, Happy Fresh dan Tesco telah merekodkan trafik dan jualan yang luar biasa. Ketua pegawai Eksekutif dan Pengasas bersama MyGroser , Stephen P Francis berkata, keadaan ini menyaksikan permintaan yang mendadak dalam jumlah pesanan menyebabkan kakitangan kedai runcit terpaksa menunda atau hanya menghantar separuh daripada pesanan yang dibuat. Memetik keratan akhbar Harian Metro (22 March 2020), dia berkata;

“Peningkatan ini adalah besar, tetapi kami sudah berjaya menambah pasukan penghantaran dan kapasiti kami sejak dua hari lalu dan kini dapat membantu lebih ramai pengguna yang memerlukan penghantaran barangan runcit.
Hex Corporate Strategies Sdn Bhd
16 April 2020