COVID-19: PERANG KESIHATAN VS EKONOMI

15 Apr 2020 | Berita Terkini, Ekonomi | 0 comments

COVID-19: PERANG KESIHATAN VS EKONOMI

Seperti yang sedia maklum, perdana menteri Malaysia telah mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan ke fasa 3 bermula 15 April 2020 hingga 28 April 2020. Ini bermakna Malaysia berada di dalam tempoh kawalan pergerakan melebihi masa sebulan. Namun persoalan utama adakah rakyat Malaysia bersedia menghadapinya jika keadaan ini berlanjutan? Kajian yang dibuat oleh Jabatan Perangkaan bertajuk “Kesan Khas Covid-19 Terhadap Ekonomi & Individu” menunujukkan 46.6 peratus  mengakui kehilangan pekerjaan kesan dari wabak itu.

Antara golongan yang terjejas ekoran penularan wabak Covid-19 ini termasuklah golongan B40, penjaja kecil, pekerja sambilan dan yang paling terjejas sudah tentu golongan yang bekerja sendiri.

Memetik berita yang disiarkan di dalam akhbar Sinar Harian, Jabatan Perangkaan mendapati 71.4 peratus rakyat Malaysia yang bekerja sendiri mempunyai simpanan yang mencukupi kurang daripada satu bulan untuk menghadapi tempoh yang tidak menentu susulan arahan PKP ini. Manakala sejumlah 78.9 peratus pekerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan 75.2 peratus pekerja syarikat Multinasional (MNC) mempunyai simpanan kewangan yang mencukupi sehingga empat bulan. Bagi pekerja swasta pula, sebanyak 82.7 peratus mempunyai simpanan kewangan yang mencukupi sehingga dua bulan.

Berdasarkan statistik di atas, ia menunjukkan kadar simpanan rakyat Malaysia adalah rendah untuk berdepan krisis yang berlaku secara tiba-tiba ini. Oleh itu, keadaan yang tidak menentu ini pasti menyukarkan kelangsungan operasi perniagaan golongan yang tiada simpanan ini. Semua pekerja yang bekerja sendiri dilindungi di bawah Akta 789 iaitu Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 yang dikuatkuasakan oleh PERKESO.

Keadaan ini bukan sahaja berlaku di Malaysia bahkan seantero dunia menghadapi krisis yang sama.  Di India,  berpusu-pusu rakyat di bandar pulang ke kampung selepas perintah “lockdown” diumumkan oleh perdana menteri India. Mereka pulang ke kampung akibat diberhentikan kerja atau disuruh pulang ke kampung kerana majikan tidak akan membayar gaji mereka. Memetik kata-kata seorang kanak kanak yang kerjanya sedang mencari sisa makanan di tempat buangan sampah di Mumbai,

“Saya dengar ada penyakit sedang menyerang dan kami tidak boleh keluar langsung dari kediaman. Kata mereka penyakit ini mengambil masa 2 minggu untuk berjangkit dan kalau sakit mungkin ambil masa 2 minggu lagi sebelum mati. Tetapi tahukah mereka? Ia Cuma mengambil masa 5 hingga 7 hari untuk kami mati jika kami tak keluar mencari makanan?”

 

BAGAIMANA CARA MENANGANI MASALAH INI?

 

Melalui Pakej Ransangan Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, pelbagai bantuan yang ditawarkan bagi membantu mengurangkan beban rakyat Malaysia. Antara bantuan yang memberi impak positif terhadap rakyat Malaysia adalah bantuan tunai kepada pelbagai lapisan pendapatan yang terbahagi kepada tiga golongan iaitu B40, M40 dan T20 dengan nilai berbeza dan jaminan tiada golongan yang tercicir. Hal ini sekaligus membantu pertumbuhan ekonomi Malaysia yang turut terjejas.

Selain itu, rakyat Malaysia yang terjejas sumber pendapatan dan mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan mengeluarkan wang mereka dari Akaun-2 maksimum sebanyak RM6,000. Inisiatif pengeluaran menerusi i-Lestari itu terhad kepada jumlah RM500 sebulan selama 12 bulan membabitkan pencarum bawah usia 55 tahun. Inisiatif kerajaan ini diharapkan dapat meringankan beban golongan yang terjejas bagi menampung perbelanjaan harian seisi keluarga. Terdapat juga bantuan lain untuk golongan tertentu bagi membantu kesusahan hidup rakyat Malaysia. Bak kata YB Tan Sri Muhyidin Yasin, ‘No one will be left behind’.

Bantuan dalam pakej PRIHATIN diharap dapat membantu sedikit golongan yang terjejas. Keadaan selepas PKP sudah semestinya berbeza apabila KKM juga menasihatkan orang ramai supaya tidak berhimpun selama 6 hingga 12 bulan selepas tempoh PKP untuk mengelakkan penularan wabak Covid-19. Hal ini pasti merungsingkan semua golongan tidak mengira majikan, pekerja, golongan kerja sendiri dan sebagainya. Keutamaan rakyat Malaysia sebenarnya adalah sama-sama berganding bahu ‘Perangi Covid-19’ selari dengan slogan “KITA MESTI MENANG” dalam mesej yang pernah disampaikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba. Yang pasti ini adalah ujian bagi seluruh dunia, Malaysia khususnya di permulaan tahun 2020. Pilihan kita, kesihatan atau eknomi?

 

Hex Corporate Strategies Sdn. Bhd.
15 April 2020