COVID-19: IMPAK TERHADAP INDUSTRI BEKALAN MAKANAN DAN PERUNCITAN

13 Apr 2020 | Berita Terkini, Ekonomi | 0 comments

IMPAK COVID-19

Isu pandemik COVID-19 yang melanda negara kita sekarang ini bukan sahaja memberi impak terhadap kesihatan rakyat malah ia akan memberi impak kepada ekonomi dunia dan negara Malaysia secara khususnya.

Menurut Bank Dunia, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjurkan menguncup di antara 0.1 peratus hingga 4.6 peratus tahun ini berikutan kesan buruk yang ditimbulkan wabak Covid-19.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengisytiharkan ekonomi dunia memasuki fasa kemelesetan ekonomi disebabkan aktiviti ekonomi yang terganggu akibat wabak Covid-19. Dijangkakan kemelesetan ekonomi ini jauh lebih teruk dari apa yang berlaku pada krisis ekonomi subprime pada 2008.

Bank Negara Malaysia (BNM) juga baru-baru ini mengeluarkan kenyatan ketika membentangkan laporannya yang menyatakan pertumbuhan ekonomi dijangka berada sekitar negatif -2.0 hingga +0.5 peratus. Dari segi jumlah guna tenaga pula, dianggarkan seramai 951,000 orang akan kehilangan pekerjaan.

“Sebaik sahaja keyakinan rakyat pulih, aktiviti ekonomi akan meningkat semula dan anda akan mendapati permintaan akan melonjak yang akan mendorong kepada pemulihan,” kata Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Yunus..

Dari segi dasar fiskal, kerajaan telah mengumumkan beberapa siri pakej rangsangan ekonomi bagi membantu individu atau syarikat yang terjejas.

Hasil kaji selidik khas, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata:,

“Berdasarkan pengamatan, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan kerajaan adalah menyeluruh dalam memastikan tiada golongan ketinggalan atau tersisih dalam mendepani krisis kesihatan melanda negara dan dunia ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Di sebalik itu, terdapat beberapa industri yang dapat dilihat berada pada “winning situation” dalam keadaan krisis ekonomi ini. Antara industri yang mempunyai permintaan tinggi adalah industri bekalan makanan dan peruncitan. Ini terbukti apabila pada awal tempoh PKP dahulu, stok makanan di semua pasar raya habis dijual. Roti Gardenia “licin” dalam sekelip mata sahaja sehingga pihak Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. mengeluarkan kenyataan di mana tahap pengeluaran berada pada tahap maksimum.

Permintaan tinggi juga berlaku apabila banyak agensi bukan kerajaan dan individu yang turun padang bagi membantu rakyat Malaysia dalam kesusahan. Keperluan makanan asas seperti beras, gula, tepung, susu, telur dan sebagainya menjadi pilihan utama untuk disumbangkan. Ini menjadikan produk tersebut mendapat permintaan yang tinggi pada waktu ini.

Walaupun dapat dilihat di mana industri bekalan makanan mempunyai permintaan yang tinggi, kita jangan lupa bahawa terdapat industri lain yang sedang dalam kesusahan. Oleh yang sedemikian, sangat penting untuk seluruh pihak memainkan peranan dengan mengambil initiatif untuk membantu PKS dalam keadaan berlakunya gangguan rantaian penawaran dan permintaan. Hal ini kerana kesan Covid-19 yang menjadi punca kemelesetan ekonomi ini mengambil masa yang lebih lama untuk pulih selagi mana jumlah jangkitan Covid-19 terus meningkat yang menyebabkan ekosistem ekonomi terganggu. Berikut disediakan rajah rangkaian ekosistem perniagaan sektor ekonomi:

Bagi membendung kenaikan harga barangan keperluan oleh peniaga.Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNHEP) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum sepanjang tempoh pelaksanaan PKP. Kebiasaannya, skim ini dilaksanakan pada musim perayaan namun kerajaan turut memutuskan pelaksanaannya ketika PKP.

Selain itu, CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd akan membantu pelanggan perusahaan kecil dan sederhananya (PKS) untuk mewujudkan perniagaan dalam talian untuk mengekalkan perniagaan mereka dalam tempoh mencabar ini.

 

Hex Corporate Strategies Sdn. Bhd.
13 April 2020