Cara Tamatkan Perniagaan Berdaftar Jika Berlaku Kematian Pemilik Perniagaan Milikan Tunggal

11 Apr 2022 | Artikel, Pensyarikatan | 0 comments

Apakah tindakan yang perlu diambil oleh waris, jika pemilik perniagaan milikan tunggal meninggal dunia?

Perniagaan enterprise merupakan salah satu daripada entiti perniagaan yang anda boleh daftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956. Jika berbahas berkenaan pendaftaran perniagaan, ramai yang hanya fikirkan cara menubuhkan perniagaan, cara memajukan perniagaan dan cara untuk mengembangkan perniagaan. Permulaan itu amat dititikberatkan sehingga ramai tidak sedar bahawa di sebalik permulaan, akan tiba tamatnya. Penamatan perniagaan ini boleh berlaku atas beberapa sebab, antaranya penutupan atas perintah mahkamah, bankrap, ataupun kematian.

Ramai sebenarnya di kalangan usahawan enterprise, ataupun waris, kurang peka mengenai isu penutupan perniagaan. Ramai yang menganggap jika berlaku kematian, aktiviti perniagaan boleh diberhentikan begitu sahaja.

Sebenarnya, amalan ini tidak betul dan boleh memberikan implikasi perundangan di kemudian hari. Menurut Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, mana-mana usahawan yang mempunyai perniagaan enterprise, dan tidak menjalankan perniagaan mereka tanpa menamatkan perniagaan mereka secara formal atau rasmi kepada SSM, mereka boleh dikenakan kompaun sehingga RM10,000, atau dihukum penjara selama setahun.

Bagaimanakah untuk mendaftarkan penamatan perniagaan?

Jika pemilik perniagaan bagi milikan tunggal meninggal dunia, waris Si mati, hendaklah memfailkan satu notis penamatan dalam Borang C dalam tempoh empat (4) bulan dari tarikh kematian.

Sekiranya perniagaan masih beroperasi, waris dibenarkan mendaftarkan perniagaan baru menggunakan nama perniagaan yang sama dengan nombor pendaftaran berbeza dengan syarat nama perniagaan tersebut tidak didaftarkan oleh pemilik perniagaan lain. Walaubagaimanapun kaedah ini hanya terpakai kepada perniagaan yang berdaftar menggunakan Nama Tred sahaja dan tidak terpakai kepada Nama Personal / nama seperti dalam Kad Pengenalan.

Waris boleh memohon surat pengesahan perniagaan yang ditamatkan dengan fi kadar ditetapkan bagi membolehkan berurusan dengan agensi berkaitan perniagaan berkenaan sebelum ini.

Sebenarnya, cara menamatkan perniagaan berdaftar jika berlaku kematian pemilik perniagaan milikan tunggal amatlah senang! Tidak mahulah apabila perniagaan terpaksa diberhentikan dan tidak memberikan hasil, tambahan pula dikenakan kompaun. Bagaikan jatuh ditimpa tangga. Jadi, jika anda berada dalam situasi ini, amatlah baik jika amalkan solusi yang sebenarnya.

Sumber rujukan: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (Laman Rasmi)


Kurang faham mengenai entiti enterprise? Tidak tahu prosedur untuk dapatkan Borang C? Hubungi wakil Setiausaha Syarikat kami sekarang!