APA ITU ANSURAN CUKAI?

4 Jun 2020 | Artikel, Cukai | 0 comments

Pembayar cukai yang layak di Malaysia perlulah membuat dan membayar cukai ansuran kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Apakah kelebihan jika kita membuat ansuran cukai awal?. Ansuran cukai dapat meringankan beban pembayar cukai untuk membayar cukai secara ‘lump sum’. Terdapat beberapa pecahan bagi pembayaran ansuran cukai.

  • CP500

Pembayar cukai yang mempunyai pendapatan selain daripada penggajian seperti perniagaan, sewa, dan royalty dikehendaki membuat bayaran ansuran setiap dua bulan sekali sehingga enam kali ansuran mulai daripadabulan Mac setiap tahun. Amaun ansuran akan dianggarkan oleh pihak LHDN menggunakan notis CP500. Jika penerima notis tidak bersetuju, mereka boleh membuat pindahan melalui notis CP502. Sekiranya cukai yang dibayar melebihi jumlah cukai kena dibayar, pembayar cukai boleh membuat tuntutan bayaran balik di atas lebihan bayaran tersebut.

 

SITUASI 1

Pak Atan adalah peniaga ikan di Pasar Malam di kawasan sekitar Selangor. Pak Atan telah mendaftar perniagaannya dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai perniagaan Enterprise dan juga LHDN. Pada tahun 2018, Pak Atan telah menerima CP500 ke alamat surat menyuratnya sebanyak RM3,000 untuk setahun. Bayaran telah dibuat mengikut jadual yang telah ditetapkan. Pada 30 Mei 2019, Pak Atan telah memfailkan cukai dengan menghantar Cukai Taksiran B dan didapati hanya RM2,000 sahaja yang perlu dibayar. Pak Atan boleh menuntut balik bayaran RM1,000 daripada pihak LHDN.

 

  • Potongan Cukai Berjadual (PCB)

PCB adalah satu mekanisme potongan cukai pendapatan daripada saraan bulanan semasa pekerja mengikut Jadual Potongan Cukai Bulanan atau kaedah-kaedah lain yang diluluskan oleh Ketua Pengarah yang diperuntukkan di bawah Kaedah 3, Kaedah-Kaedah Cukai Pendapatan (Potongan daripada Saraan) 1994 (Kaedah PCB). Potongan ini bertujuan untuk mengurangkan beban pekerja membayar cukai sekaligus apabila cukai dikira.

 

SITUASI 2

Siti merupakan seorang pekerja di syarikat swasta di Lembah Klang. Pendapatan bulanan Siti adalah layak sebagai pembayar cukai. Oleh itu, majikan Siti telah membuat potongan bulanan melaui sistem e-Pcb. Selama setahun, Siti telah membayar cukai awal sebanyak RM500. Selepas penggiraan dibuat, Siti perlu membayar cukai sebanyak RM620. Oleh itu, Siti hanya perlu membayar RM120 sahaja dan bukan RM620. Keadaan sebaliknya jika cukai yang kena bayar kurang daripada ansuran cukai.

 

  • CP204

CP204 adalah dikhaskan bagi syarikat yang ditubuhkan. Anggaran cukai bagi tahun taksiran berikutnya perlu dihantar sebulan sebelum tarikh akhir kewangan semasa dan pembayaran pertama bermula pada bulan kedua tahun kewangan. Syarikat haruslah melaporkan ansuran cukai sekurang-kurangnya 85% daripada anggaran atau cukai yang perlu dibayar pada tahun sebelumnya. Kegagalan untuk menghantar borang anggaran cukai boleh dikenakan penalty oleh pihak LHDN.

 

SITUASI 3

Syarikat ABC Sdn. Bhd. mempunyai tarikh kewangan berakhir 31 Disember 2019.Cukai bagi tahun taksiran 2018 adalah RM9,000. Bagi tahun taksiran 2020, anggaran cukai haruslah dibuat sebulan sebelum 31 Disember 2019 iaitu 30 November 2019. Jumlah yang perlu syarikat ABC laporkan adalah sekurang-kurangnya RM 7,650 (RM9,000 x 85%).

 

Chartered Accountant
Hex Corporate Strategies Sdn. Bhd.
04 Jun 2020