SYARIKAT DAN CUKAI

29 May 2020 | Berita Terkini, Cukai, Ekonomi | 0 comments

Apa itu syarikat? Syarikat pada dasarnya adalah satu institusi yang menjalankan perusahaan atau pertubuhan bagi membekalkan barang atau perkhidmatan kepada pelanggan. Secara ammya, syarikat tertakluk kepada perundangan yang telah ditetapkan seperti Akta Syarikat 2016 dan Akta Percukaian 1967. Oleh itu syarikat wajib untuk melaporkan kewangan syarikat tahunan mereka kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Bagi syarikat yang ditubuhkan di Malaysia, cukai syarikat bergantung kepada kadar yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan. Penurunan sebanyak 1% boleh dilihat dari tahun ke tahun bermula 20% pada tahun 2015 kepada 16 % pada tahun 2020. Penurunan kadar cukai dilihat dapat membantu dan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Soal jawab di bawah adalah serba sedikit mengenai cukai bagi syarikat di Malaysia.

  1. Bagaimana cukai syarikat dikenakan?

Cukai syarikat mengambilkira keuntungan lebihan setelah perbelanjaan yang dibenarkan ditolak daripada pendapatan kasar perniagaan.

  1. Apakah itu pendapatan kasar perniagaan?

Pendapatan kasar perniagaan adalah penerimaan atau bayaran yang diterima daripada suatu urus niaga yang melibatkan jualan stok perdagangan atau pemberian perkhidmatan. Dalam menentukan penerimaan yang boleh dianggap atau diambil kira sebagai pendapatan kasar perniagaan, Seksyen 12 (Peruntukan Seksyen 12 juga perlu dibaca bersama dengan Seksyen 3), Seksyen 22, Seksyen 24, Seksyen 28 dan Seksyen 30 Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) memberi panduan berkaitan dengan maksud dan kriteria penerimaan tersebut.

  1. Adakah perbelanjaan praoperasi atau prapermulaan perniagaan yang dilakukan oleh syarikat, dibenarkan potongan daripada pendapatan kasar perniagaan?

Pada amnya, perbelanjaan praoperasi atau prapermulaan perniagaan yang dilakukan oleh seseorang tidak dibenarkan sebagai potongan daripada pendapatan kasar perniagaan kerana perbelanjaan itu tidak kesemua dan semata-mata dilakukan dalam menghasilkan pendapatan itu. Walaubagaimanapun, Jadual 4B ACP 1967 dan Kaedah-Kaedah yang dikeluarkan oleh Menteri Kewangan iaitu P.U.(A) 61/1992, P.U.(A) 111/1995, P.U.(A) 160/1996, P.U.(A) 475/2003, P.U.(A) 472/2005, P.U.(A) 135/2006, P.U.(A) 65/2007, P.U.(A) 361/2008, P.U.(A) 401/2009 dan P.U.(A). 76/2012 membenarkan potongan bagi perbelanjaan tertentu yang dilakukan sebelum permulaan operasi atau perniagaan. Untuk makluman lanjut mengenai perbelanjaan praoperasi boleh rujuk laman web di bawah.

http://lampiran1.hasil.gov.my/pdf/pdfam/KU_11_2013.pdf

  1. Adakah setiap syarikat wajib melaporkan pendapatan ke LHDN.

Ya. Setiap syarikat yang telah didaftrakan wajib melaporkan keuntungan atau kerugian perniagaan. Penentuan pembayaran cukai akan ditentukan selepas penggiraan cukai dibuat.

  1. Bagaimanakah penggiraan cukai dibuat?

Penggiraan cukai boleh dibuat dengan mengambilkira perkara di bawah:

  • Keuntungan bersih
  • Perbelanjaan tidak dibenarkan
  • Elaun awal dan Elaun tahunan
  • Rugi tahun semasa
  • Rugi bawa hadapan

 

  1. Bagaimana sesebuah syarikat boleh menghantar cukai syarikat?

Bagi syarikat, borang yang perlu dihantar adalah Borang C. Penghantaran cukai syarikat haruslah dihantar melalui laman web https://ez.hasil.gov.my/CI/

  1. Jika terdapat cukai yang perlu dibayar selepas penghantaran cukai, bagaimanakah cara untuk membayarnya?

Terdapat pelbagai cara yang boleh digunakan untuk membayar cukai syarikat. Antara yang termudah adalah menggunakan medium fpx. Selain itu terdapat juga medium lain yang disediakan pihak LHDN buat kemudahan pembayar cukai. Sila layari laman web http://www.hasil.gov.my/bt_goindex.php?bt_kump=5&bt_skum=1&bt_posi=2&bt_unit=5000&bt_sequ=7 untuk mengetahui medium yang lain.

Chartered Accountant
Hex Corporate Strategies Sdn. Bhd.
29 Mei 2020