Q: Apakah tanggungjawab seorang pembayar cukai?
A: Setiap individu yang boleh dikenakan cukai dikehendaki melaporkan kesemua pendapatan kepada LHDNM. Individu tersebut adalah bertanggungjawab untuk :
- Daftar Nombor Cukai Pendapatan / Kemaskini Maklumat
- Lapor Pendapatan Tahunan
- Bayar Cukai Pendapatan
Q: Perlukah saya mendaftar nombor cukai pendapatan?
A: Ya. Tuan perlu mendaftar nombor cukai jika tuan salah seorang daripada:
- Individu berstatus bujang yang menerima pendapatan penggajian melebihi RM34,001 setahun (selepas potongan KWSP)
- Individu berkahwin dan pasangan tidak bekerja yang menerima pendapatan penggajian melebihi RM46,001 setahun
- Individu yang menjalankan perniagaan (walaupun perniagaan mengalami kerugian)
- Pekerja baharu yang dikenakan Potongan Cukai Bulanan (PCB)
- Individu yang mempunyai pendapatan yang boleh dikenakan cukai
- Individu yang menjual/membeli hartanah
Q: Bagaimanakah cara mendaftar nombor cukai pendapatan?
A: Pendaftaran nombor cukai pendapatan boleh dibuat secara :
- atas talian (online) melalui aplikasi e-Daftar di http://edaftar.hasil.gov.my
- manual di cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) yang berdekatan.
Q: Bilakah tarikh akhir penghantaran borang cukai?
A: Tuan boleh pergi ke artikel sebelumnya untuk tarikh akhir penghantaran borang cukai,
https://hexcorporate.com/2020/04/24/tarikh-akhir-penghantaran-borang-cukai/
Q: Saya telah daftar nombor cukai pendapatan. Apa yang perlu saya buat?
A: Tuan sebagai pembayar cukai adalah bertanggungjawab untuk:
- Mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) sama ada menggunakan borang kertas atau melalui aplikasi e-Filing;
- Melaporkan pendapatan dan perbelanjaan, termasuk potongan dan rebat;
- Mengira cukai pendapatan; dan
- Menyimpan rekod, dokumen dan helaian kerja selama tujuh (7) tahun bagi tujuan pengauditan.
Q: Adakah saya perlu mengemukakan rekod, dokumen dan helaian kerja bersama BNCP?
A: Pembayar cukai tidak perlu menghantar rekod, dokumen dan helaian kerja bersama dengan BNCP; tetapi ianya hendaklah disimpan selama tujuh (7) tahun. Pengiraan tempoh tujuh tahun adalah bermula dari akhir tahun dalam mana BNCP tersebut telah dikemukakan.
Q: Boleh saya tahu apakah contoh rekod, dokumen dan helaian kerja tersebut?
A: Lembaran kerja adalah seperti di bawah:
- Borang EA/EC
- Baucar dividen
- Resit premium insurans
- Resit pembelian buku
- Resit perubatan
- Resit derma
- Resit pembayaran zakat
- Sijil kelahiran anak
- Sijil nikah
- Dokumen-dokumen sokongan lain
- Helaian kerja (jika ada)
Q; Apakah tindakan yang akan diambil oleh LHDNM sekiranya saya tidak menyimpan rekod–rekod perniagaan saya?
Sekiranya tuan tidak menyimpan rekod–rekod perniagaan tuan, di bawah seksyen 119A, ACP 1967, tuan boleh didakwa di mahkamah dan jika disabitkan kesalahan, tuan boleh dikenakan denda tidak kurang RM300 dan tidak lebih RM10,000 atau dipenjara tidak kurang satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Q: Apakah jenis borang yang perlu saya isi?
A: Sekiranya tuan adalah :
- Individu tidak menjalankan perniagaan, sila lengkapkan :
- Borang BE – Pendapatan Penggajian dan Pendapatan Lain (Tidak Menjalankan Perniagaan) Bagi Individu Pemastautin
- Borang M – Pendapatan Perniagaan, Penggajian dan Pendapatan Lain Bagi Individu Tidak Pemastautin
- Borang BT – Pendapatan Perniagaan, Penggajian dan Pendapatan Lain (Pekerja Berpengetahuan / Pekerja Berkepakaran) Bagi Individu Pemastautin
- Borang MT – Pendapatan Perniagaan, Penggajian dan Pendapatan Lain (Pekerja Berpengetahuan) Bagi Individu Tidak Pemastautin
- Individu menjalankan perniagaan, sila lengkapkan :
- Borang B – Pendapatan Perniagaan, Penggajian dan Pendapatan Lain Bagi Individu Pemastautin
- Borang M – Pendapatan Perniagaan, Penggajian dan Pendapatan Lain Bagi Individu Tidak Pemastautin
- Borang BT – Pendapatan Perniagaan, Penggajian dan Pendapatan Lain (Pekerja Berpengetahuan / Pekerja Berkepakaran) Bagi Individu Pemastautin
- Borang MT – Pendapatan Perniagaan, Penggajian dan Pendapatan Lain (Pekerja Berpengetahuan) Bagi Individu Tidak Pemastautin
Chartered Accountant
Hex Corporate Strategies Sdn. Bhd.
19 Mei 2020